Perasmian Inisiatif Laluan Makkah



​​

Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Mohammad Hasif Matzin, Hernie Suliana Haji Othman





BERAKAS, Isnin, 4 Mei. - Negara Brunei Darussalam (NBD) telah disenaraikan dalam 10 buah negara yang diberikan keistimewaan pelaksanaan Makkah Route Initiative, iaitu satu inisiatif Kerajaan Arab Saudi yang bertujuan untuk memudahkan dan mempercepatkan urusan perjalanan jemaah haji.


Pelaksanaan pada Musim Haji Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi ini adalah merupakan sebahagian daripada usaha di bawah Wawasan 2030 Arab Saudi (Saudi Vision 2030) yang menekankan peningkatan kualiti perkhidmatan terhadap para 'duyufurrahman'.


Melalui pelaksanaan inisiatif ini, urusan kemasukan jemaah haji negara ini ke Arab Saudi akan lebih cepat dan mudah, iaitu dengan menyelesaikan proses imigresen lebih awal di negara ini tanpa perlu menjalani pemeriksaan imigresen semasa tiba di Lapangan Terbang Madinah nanti.


Manakala bagasi jemaah akan dilabel dan disusun lebih awal di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB) mengikut penempatan hotel jemaah di Madinah bagi memudahkan proses penghantaran terus bagasi ke hotel penginapan.


Sehubungan ini, Majlis Perasmian Pelaksanaan Inisiatif Laluan Makkah (Makkah Route Initiative) bagi Jemaah Haji NBD 1447H / 2026M telah diadakan pagi tadi dengan kerjasama pihak Kerajaan Arab Saudi di LTAB, iaitu semasa penerbangan pertama jemaah haji NBD.


Hadir bagi menyempurnakan majlis tersebut bagi pihak Kerajaan NBD ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman.


Manakala bagi pihak Kerajaan Arab Saudi ialah Pengerusi Jawatankuasa Penyeliaan bagi Inisiatif Laluan Makkah dan Penasihat kepada Menteri Dalam Negeri Arab Saudi, Tuan Yang Terutama Leftenan Jeneral Sulaiman bin Abdulaziz Al-Yahya.


Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan dan bakal Duta Besar Istimewa dan Mutlak Arab Saudi ke NBD, Tuan Yang Terutama Saleh bin Abdulkarim Al-Shiha serta delegasi dari pihak Kerajaan Arab Saudi.


Penyertaan NBD dalam inisiatif ini merupakan satu pengiktirafan daripada Kerajaan Arab Saudi terhadap kecekapan Pengurusan Haji NBD serta kepatuhan terhadap peraturan-peraturan yang ditetapkan, di samping mencerminkan hubungan erat dan baik antara kedua-dua buah negara.


Close